Header Ads

Buang Saka Dalam Perigi

Cerpen: Buang Belaan Dalam Perigi Buta:

"Hadi nak bohong mak ya?" Aisyah menjengilkan mata ke arah anaknya. Hadi menggeleng. Dia juga hairan, luka di lututnya sudah menghilang.


Gambar hiasan.




"Mak nampak kaki Hadi ada darah kan? Mana pula Hadi nak bohong." kata Hadi sambil mengerutkan kening memandang wajah emaknya yang masih bertanda tanya.

Zairol nampak selamba sahaja ketika Aisyah memberitahu apa yang terjadi kepada Hadi. Macam tidak ada apa-apa. Matanya merenung siling ketika Aisyah sibuk menceritakan kejadian.

"Abang! Abang dengar tak apa saya cakap ni?" ujar Aisyah meligat sikap suaminya yang acuh tidak acuh.

"Abang dengarlah ni," ujar Zairol. Tidak terkejut sama sekali mendengar cerita Aisyah.

"Macam mana boleh jadi begitu bang? Saya sendiri nampak lutut dengan lengan dia luka, kenapa luka tu hilang tuba-tiba saja?" soal Aisyah pula.

"Pacat gigit la tu. Darah tu darah pacat, meleleh dekat lutut, dekat siku," ujar Zairol memberikan jawapan ringkasnya.

Aisyah masih bingung. Takkan digigit pacat Hadi boleh menangis sampai terjerit-jerit.

Hari berlalu membawa persoalan Aisyah. Semakin lama, soalan-soalan itu mulai menghilang dari kotak fikirannya.

Aisyah hampir melupakan peristiwa yang menimpa Hadi. Lupa kepada kesakitan Hadi dan jawapan ringkas yang diberikan Zairol mengenai luka Hadi.

Kehidupan diteruskan seperti biasa, tetapi dia sering melihat pula Zairol termenung. Sesekali Zairol seperti bercakap sendirian. Aisyah menyangka suaminya tidak siuman.

"Abang cakap dengan siapa bang?" Pernah sekali Aisyah menegur apabila melihat suaminya seperti marahkan seseorang.

"Tak ada siapa. Abang geram dengan Pak Manan tu. Dia menipu timbangan, itu yang abang geram.

"Kita beli gula tiga kilo, dia timbang dua kilo setengah, mana abang tak geram," Zairol memberi alasannya.

"Pergilah minta setengah kilo lagi, yang abang merungut saja, dapat apa?" bentak Aisyah, turut geram mendengar khabar yang sengaja diluahkan Zairol.

Padahal kisah gula kurang timbangan itu sudah hampir enam bulan berlalu. Pak Manan pun sudah lupa timbangannya tidak cukup.

"Kalau abang tak mahu pergi, saya pergi," Aisyah seakan menggertak.



"Pak Manan dah lupa dah tu, dah lama sangat." Ujar Zairol cuba menghalang isterinya.



"Dah enam bulan, baru sekarang abang rungutkan?" Aisyah menjeling.



Zairol kembali termenung. Bunyi enjin motosikal menghampiri rumah, mengejutkan kedua-duanya.



Jalil memberhentikan motosikalnya secara mengejut di depan tangga rumah.



"Apa hal Jalil?" Soal Zairol melihat nafas Jalil turun naik.



"Ijoi kemalangan bang, dekat simpang.. teruk bang!" Beritahu Jalil sambil tubuhnya sedikit menggigil.



Aisyah terkejut yang amat sangat. Adik iparnya kemalangan.



"Bila pula Ijoi kemalangan?" Tanya Zairol yang nampak menggelabah.



"Baru saja bang." Beritahu Jalil.



Aisyah menggigil. Teruk agaknya adik iparnya kemalangan. Aisyah sendiri kelam kabut mengambil tudung, mendapatkan Zairol yang sudahpun menghidupkan kereta.



Kereta dipandu Zairol agak laju. Dia memecut ke kawasan kemalangan. Aisyah mendesak supaya laju lagi.



Aisyah menggelabah membayangkan kemungkinan perkara buruk menimpa adik iparnya.



Ya Allah! Apa kata kalau Ijoi luka parah. Cedera teruk. Pecah kepala. Ada-ada saja budak ni.



Aisyah nampak wajah suaminya tenang saja. Seperti tidak ada kerisauan langsung dalam hatinya.



Mereka sampai ke kawasan kemalangan dan melihat Ijoi sedang terdengkot-dengkot berjalan.



Zairol menghampiri adiknya. Aisyah tidak berani memandang. Aisyah memang takut melihat darah, walaupun sedikit.



"Lojiknya, kalau dah terlipat tengah jalan, lepas tu kena seret kereta hampir 50 meter jauhnya, kalau tak parah pun, boleh koyak kulit kaki.



"Nasib engkau baik, tak luka sikitpun!" Salah seorang pengguna jalan raya yang menyaksikan kemalangan Ijoi bersuara.



Ijoi juga tidak menyangka, kemalangan yang dianggap dahsyat itu tidak sedikitpun membekaskan luka walaupun sedikit. Aisyah semakin pelik. Zairol masih tenang.



"Bang, bawalah Ijoi ke hospital, entah-entah luka kat dalam," ujar Aisyah. Zairol mengangguk.



Tetapi Ijoi tidak mahu dibawa ke hospital. Katanya dia tidak berasa sakit langsung.



Peristiwa itu membuatkan Aisyah terus bertanda tanya. Zairol pula semakin gelisah selepas dia sendiri melihat kejadian kemalangan Ijoi.



"Ada yang dah makan darah tu Aisyah!" Akhirnya Zairol membuka mulut pada suatu petang selepas beberapa hari kejadian kemalangan Ijoi berlalu. Aisyah terkejut.



"Kalau abang cakap pun, agaknya Aisyah tak percaya," ujar Zairol.



Perasaan Aisyah menjadi tidak tenteram. Apa yang hendak dikatakan oleh suaminya?



"Apa bendanya bang?"



"Ini semua kerja belaan arwah nenek kita dulu," ujar Zairol.



Tiba-tiba bulu tengkuk Aisyah meremang selepas mendengar kata-kata suaminya.



"Apa bendanya?"



"Nenek kita dulu ada membela-bela. Bila dia mati, dia bagikan benda tu pada Pak Ngah. Bila Pak Ngah meninggal, anak-anak dia tak nak jaga.



"Sekarang benda tu tak bertuan. Dia merayau-rayau sajalah mengacau anak cucu nenek.



"Abang rasa, dia nak masuk dekat abang, abang tak mahu, tak sanggup!" ujar Zairol. Aisyah ketakutan.



"Eeee.. janganlah bagi dia masuk bang! Saya takut!!!"



"Abang tak bagi masuklah tu. Itu sebab tak ada orang nak jaga dia. Tapi dia nak makan darah tu!" sahut Zairol.



Semakin seram Aisyah mendengar kata-kata suaminya. Dia mula memikirkan apa yang patut dilakukan suaminya sekarang.



"Abang ingat nak buang terus tapi kita kena cari orang yang pandai nak buang benda tu."



Belaan Berpindah Tempat





Perigi Buta
Gambar hiasan.


"Itulah sebabnya aku nak minta kau carikan perigi buta, nak buang benda tu," ujar Rosmah kepada Najib selepas menceritakan apa yang berlaku kepada keluarga Aisyah.



"Aku kena tolong dia, kalau tak, merana dia anak beranak."



"Aku dah bawa dia jumpa ustaz. Ustaz tu boleh 'campakkan' ke dalam perigi buta. Dengan cara tu, barulah benda tu boleh hilang," sambung Rosmah lagi.



Melalui kenalan lama Rosmah, mereka akhirnya menemui perigi buta yang di cari-cari.



"Kau ni macam-macam la Najib. Perigi butalah, perigi betunglah, macam-macam.." Kenalan Najib, Zahid, yang hampir tertawa apabila Najib menceritakan tujuannya mencari perigi buta.



"Kalau kau nak buang benda, aku tak beranilah. Perigi tu dekat rumah aku. Nanti merayap pula benda tu cari anak-anak aku!" ujar Zahid keberatan.



"Kau jangan risau, ustaz tu kata benda tu tak akan kacau sesiapa. Yang nak dibuang ke dalam perigi cuma kaedah perubatannya saja.



"Benda tu entah ke mana ustaz tu dah campak," ujar Najib mententeramkan Zahid.



Zahid akhirnya setuju membenarkan perigi buta yang tidak jauh dari rumahnya digunakan untuk membuang benda tu.



Aisyah sekeluarga dibawa oleh ustaz ke perigi tersebut untuk menjalankan upacara membuang belaan arwah nenek Zairol.



Sebulan selepas itu, Najib menghubungi Zahid untuk mengucapkan terima kasih diatas pertolongannya.



Keluarga Aisyah tidak lagi diganggu selepas itu.



Zairol percaya, belaan neneknya sudah berpindah ke tempat lain.



~Tamat



No comments:

Powered by Blogger.