Header Ads

Dunia Pelik Bomoh

Dunia P{elik Bomoh

AKSI aneh seorang bomoh terkenal melakukan satu ritual mendapat reaksi pelbagai daripada masyarakat Malaysia baru-baru ini. Pelbagai respons diterima selepas video kaedah ritual bomoh tadi menjadi tular di internet.
Aksi bomoh itu yang kononnya mahu memagar Malaysia daripada bencana sebenarnya bukanlah yang pertama.
Beberapa tahun lalu, dalam insiden kehilangan pesawat MH370, bomoh itu juga telah melakukan aktiviti ritual yang aneh di lapangan terbang sambil disaksikan oleh orang ramai.
Walaupun ramai beranggapan bahawa aktiviti ritual yang dilakukan oleh bomoh tadi sebagai janggal dan melucukan, hakikatnya hal seumpama itu telah lama berlaku dalam masyarakat kita.
Sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, setiap kali tibanya musim menanam padi, ada petani yang menyediakan beberapa tangkai padi dan sedikit darah ayam kononnya untuk dijamu kepada nenek moyang yang menjaga tanaman.
Sekiranya ada orang sakit, ada beberapa pakar perubatan yang meminta keluarga pesakit menyediakan telur ayam dan beberapa barang lain untuk diletakkan di hujung kampung.
Kononnya, pesakit telah ditimpa musibah kerana kemarahan ‘nenek moyang’ dan dengan menjamu roh nenek moyang itu akan meredakan kemarahan makhluk misteri tersebut.
Begitupun, pada masa itu pengguna media sosial tidak meluas seperti hari ini, maka tidak ramai yang menyedarinya.
Ia mungkin diketahui oleh pesakit atau mereka yang ingin mendapatkan rawatan itu sahaja.
Keanehan ini bukan sahaja menjadikan kaedah rawatan tadi dilihat unik tetapi pada masa yang sama menyebabkan bomoh tadi dilihat hebat oleh pesakit.
Apatah lagi, pesakit yang datang itu pula dalam keadaan penuh pengharapan untuk sembuh.
Situasi ini menjadikan pesakit tadi percaya bahawa apa yang dilakukan oleh bomoh itu betul, apatah lagi ia diselang-seli pula dengan bacaan doa atau ayat al-Quran tertentu.
Sudut agama
Kini, banyak lagi keanehan kaedah bomoh yang ada ini boleh ditonton oleh ramai orang. Keanehan ini bukan hanya ada di Malaysia tetapi di seluruh dunia.
Bagaimanapun, kaedah aneh itu dipersoalkan amalannya daripada sudut agama. Mengapa pula ada bomoh yang begitu teruja untuk merakamkan aksi yang pelik untuk ditonton oleh warga maya?
Tidakkah mereka berasa janggal melihat ia menjadi bahan ketawa orang lain?
Sebenarnya manusia mempunyai pelbagai watak yang sukar difahami. Antaranya, personaliti narsisisme atau dalam bahasa yang mudah difahami ialah perasaan bangga diri.
Antara ciri personaliti ini ialah individu itu berasakan bahawa mereka ialah manusia yang hebat dan berbeza dengan orang lain.
Ego diri yang tinggi menyebabkan mereka berasakan bahawa apa sahaja yang lakukannya adalah betul dan pandangan orang lain mungkin untuk menjatuhkan diri mereka.
Mereka juga berasakan diri sebagai manusia istimewa dan apa sahaja peraturan yang ditetapkan oleh orang lain, mungkin tidak relevan.
Bagi mereka yang pernah mendapatkan khidmat bomoh tertentu, mungkin ada yang pernah bertemu dengan beberapa situasi ini.
Misalnya, bomoh akan menceritakan kejayaan mereka mengubat penyakit aneh yang tidak mampu dilakukan oleh orang lain.
Ia dikaitkan pula dengan kejayaan merawat personaliti terkenal.
Malah, ada yang mungkin mampu ‘meramal’ latar belakang seseorang pesakit dengan baik.
Semua ini menjadikan mereka dilihat begitu hebat. Sedangkan realitinya, kejayaan mengubat ini mungkin berlaku secara kebetulan.
Mereka mungkin pernah mengubati ratusan orang tetapi kerana hanya satu kejayaan, ia menjadi topik perbualan sehinggakan bomoh tadi dilihat begitu hebat.
Begitu juga dengan kejayaan meramal masa lalu seseorang pesakit. Umumnya, kebanyakan pesakit mempunyai sifat yang sama sahaja.
Misalnya, mereka yang dilanda kemurungan akan mengalami gangguan tidur atau bermimpi dengan objek yang menakutkan.
Jadi, sekiranya bomoh tadi mampu meramal sesuatu yang sedang dialami oleh pesakit, hakikatnya ia bukanlah hal aneh.
Ia perkara umum yang diketahui oleh ramai orang.
Idola
Bagaimanapun, cerita kejayaan bomoh ini akan menjadi topik perbualan. Dengan adanya pelbagai media sosial seperti hari ini, kehebatan itu akan menular dengan lebih cepat.
Walaupun ada yang mengkritik kaedah aneh yang dilakukan oleh bomoh, apabila semakin ramai orang berbual mengenainya, mereka akan berasa mereka menjadi idola.
Ia seolah-olahnya menunjukkan bahawa mereka adalah manusia terkenal dengan melakukan sesuatu yang kononnya benar, walaupun semua manusia lain mungkin menyatakan mereka salah.
Itulah sebenarnya yang dimahukan oleh bomoh narsisisme ini. Perasaan seumpama ini sebenarnya dialami oleh sesiapa sahaja yang mempunyai personaliti ini.
Mereka akan berbangga dengan keunikan mereka dan akan berasa bangga apabila semakin ramai yang bercakap mengenainya.
Jika anda rajin memerhatikan banyak watak-watak baharu yang muncul di YouTube sejak akhir-akhir ini, segelintir daripadanya mempunyai personaliti ini.-kosmo

No comments:

Powered by Blogger.